KUCHING: JPX FC berjaya merangkul juara Piala Sumbangsih Tunku 2023 dengan membenam RNB FC (5-1) dalam aksi akhir yang berlangsung di padang KDFA Sourabaya, pada Ahad (8 Januari).

Kesilapan pertahanan RNB minit ke-5 membuka peluang penyerang sensasi JPX, Bijek untuk membuka tirai jaringan sebelum menambah duka pihak lawan dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-19.

Peluang besar JPX menambah jaringan pada minit ke-28 menerusi penalti akibat kekasaran penjaga gawang lawan, bagaimanapun tidak menyebelahi mereka selepas tendangan itu diselamatkan oleh tiang gol.

JUARA…Barisan pemain utama JPX FC bersama-sama pengurus pasukan JPX FC, Azdi Azhar Hassan (depan kiri).

Kegagalan menjaringkan penalti tidak mematahkan semangat pasukan sebaliknya berjaya menambah gol ketiga menerusi gerakan solo Mohammad Nazarrudin Mohamed pada minit ke-41.

RNB akhirnya memecah kebuntuan gol minit ke-44 hasil kesilapan pemain lawan yang menanduk bola ke gawang sendiri.

Gol keempat JPX berjaya diledak pada minit ke-55 hasil gerakan lincah, Raziman Razali.

Manakala jaringan terakhir ditambah minit ke-58 menerusi tendangan kencang pemain tengah, Mohd Iskandar Zulkanain dari luar kotak.

Keputusan akhir (5-1) kekal sehingga wisel penamat, sekali gus mengekalkan keputusan juara milik JPX FC.

Suara Sarawak