KUCHING: Kejohanan Debat Antara Sekolah Swinburne Sarawak (SSIDC) ke-18 merupakan arena terbaik untuk berinteraksi dengan pendebat daripada pelbagai sekolah termasuk antarabangsa.

Bakal diadakan secara bersemuka bermula 30 Januari hingga 2 Februari depan yang menghimpunkan kira-kira 300 pendebat, inisiatif Kelab Pendebat Swinburne ini akan menggalakkan pelajar di sekolah menengah di Sarawak berdebat dalam bahasa Inggeris.

Menurut Penasihat kelab yang juga pengasas SSIDC Dr Christina Yin, selepas dua tahun diadakan secara dalam talian, tahun ini Swinburne teruja menjemput pelajar kembali ke kampus dan meminta mereka mengambil bahagian.

MEMORI… Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor John Wilson bergambar kenangan bersama-sama juara SSIDC 2020 SMK Lutong.

Sementara Ketua Pengadil Dr Stanley Nwobodo berkata, hakim berpengalaman dari seluruh negara akan dibawa masuk untuk memberikan keputusan yang adil dan saksama serta maklum balas yang bernas serta membina semasa penghakiman lisan yang diberikan selepas setiap pusingan perbahasan.

Hadiah ditaja oleh pelbagai jabatan universiti termasuk Pusat Pengajian Asasi, Pemasaran dan Pengambilan Pelajar.

Selain turut disokong oleh penaja seperti English Language Centre, John’s Pie, Satok Hardware and Engineering dan Trillion Indah.

Di samping itu, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjadi Rakan Pemuliharaan SSIDC 2023, menyokong dalam menyebarkan kesedaran dan membina pengetahuan tentang isu pemuliharaan penting di Malaysia dan seluruh dunia.

Justeru, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mempelawa pelajar sekolah menengah untuk menyertai SSIDC ke-18, satu kejohanan debat parlimen Asia yang berlangsung selama empat hari.

Pelajar yang berminat menyertai SSIDC 2023 boleh mengetahui lebih lanjut dan mendaftar di pautan berikut, https://bit.ly/SSIDC2023 yang akan ditutup pada 20 Januari depan.

Untuk rekod sejak 2012, SSIDC pernah disertai sekolah-sekolah dari Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.

Suara Sarawak