KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf lebuh raya Kuching Samarahan kini mendahului jadual dengan kemajuan fizikal sebanyak 48 peratus, sejak bermula Disember tahun lalu.

Jabatan Kerja Raya Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, dengan kemajuan tersebut, kerja-kerja merata dan menurap jalan yang sedang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas Samajaya dijangka siap Jumaat ini.

“Kontraktor yang dilantik sedang berusaha untuk menyiapkan kerja-kerja menaik tarafkan lebuh raya Kuching Samarahan yang dijangka siap sepenuhnya Januari tahun depan.

“Projek itu kini memasuki fasa kritikal dengan meletakkan sub base atau tapak jalan di bulatan empat Samajaya,” katanya.

Bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak pula, JKR telah mengarahkan kontraktor melakukan kerja pracampuran pada waktu malam.

“Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dijangka bertambah baik apabila kerja-kerja meletakkan premix di bulatan nombor empat Samajaya dijangka siap pada 6 Januari ini,” ujarnya.

JKR menambah, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam tempoh pembinaan itu, JKR Sarawak terus menambah baik pengurusan trafik di sepanjang laluan berkenaan.

“Kami juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul susulan kerja menaik taraf itu.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

 

Suara Sarawak