Gambar hiasan

GEMBIRA dan air mata, itu yang dapat disaksikan melalui beberapa rakaman gambar pengembara di beberapa lapangan terbang antarabangsa, stesen kereta api dan pintu sempadan negara China sejak beberapa hari ini. Suasana sedemikian sebenarnya perkara biasa kita lihat di tempat sedemikian.

Bertemu semula dengan sanak saudara yang lama terpisah, kita pasti sangat gembira kerana akhirnya penantian sekian lama itu terlerai.

Tetapi kali ini, suasananya agak berbeza, khususnya kepada semua pengembara yang datang dan pergi ke China. Mengapa?

Keadaan ini berlaku sejak 8 Januari lalu apabila negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu akhirnya bebas setelah terkurung selama tiga tahun.

China juga merupakan negara yang paling lama melaksanakan sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 di dalam negara mereka sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat yang menjurus kepada demonstrasi jalanan.

Tetapi kini, rata-rata pengembara yang ditemui pihak media menzahirkan rasa gembira dan syukur kerana mereka dapat bertemu dua mata dengan ahli keluarga dan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Bahkan ada yang mendedahkan, ada dalam kalangan mereka terus membeli tiket penerbangan sebaik sahaja pihak berkuasa China mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara itu pada tahun lalu.

Contohnya, di Hong Kong, dalam masa sehari peraturan baharu diumumkan, lebih 280,000 warga Hong Kong mendaftar untuk pergi ke tanah besar.

Ini yang berlaku di Hong Kong.

Di tempat lain bagaimana pula? Menurut laporan, pihak berkuasa mengumumkan bahawa perjalanan antara Hong Kong dan China akan disambung semula mulai 8 Januari, pada mulanya membenarkan kira-kira 60,000 orang sehari untuk menyeberang ke setiap arah.

Tetapi tahukah anda penduduk China telah lama menjadi sebahagian besar pelawat ke Hong Kong, dengan kira-kira 51 juta orang tiba pada 2018, hampir tujuh kali ganda jumlah penduduk Hong Kong.

Di Korea Selatan pula, pelancong China juga merupakan kira-kira satu pertiga daripada semua pelawat asing prapandemik ke negara ini.

Secara umumnya, antara negara yang membuka sempadan negara kepada pengembara dari China adalah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Australia, Kanada, United Kingdom, Jepun, Taiwan, Korea Selatan, India, Qatar, Ghana, Maghribi dan Malaysia.

Ujian Covid-19 mandatori Semua negara ini bagaimanapun mengenakan ujian Covid-19 mandatori dan peraturan lain kepada pengembara.

Dan, ada antara peraturan tersebut dikutuk oleh pihak Beijing sebagai tidak boleh diterima. Walaupun banyak negara membenarkan kemasukan pengembara dari China, Maghribi adalah negara Afrika utara telah mengambil beberapa langkah paling ketat, melarang kemasukan secara langsung untuk semua pelancong dari China.

Memetik laporan media antarabangsa, larangan itu berkuat kuasa minggu lalu dan akan berlarutan sehingga diberitahu kelak.

Kementerian luarnya berkata, ia untuk mengelakkan gelombang jangkitan baharu di Maghribi dan semua akibatnya.

Sama ada kita sedar atau tidak, sebenarnya tindakan China menarik balik sekatan wabak secara tiba-tiba hujung tahun lalu telah membawa kepada gelombang jangkitan yang besar di negara itu.

Berdasarkan laporan, hampir 90 peratus penduduk di wilayah ketiga paling ramai penduduk di China kini dijangkiti Covid-19.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Kesihatan untuk Wilayah Henan Tengah, Kan Quancheng, ketika ini negara itu menghadapi lonjakan kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Katanya, sehingga 6 Januari lalu, kadar jangkitan Covid-19 di wilayah itu ialah 89.0 peratus.

Dengan populasi 99.4 juta orang, angka menunjukkan kira-kira 88.5 juta orang di Henan kini mungkin dijangkiti. Lawatan ke klinik akibat demam memuncak pada 19 Disember tahun lalu dan selepas itu, ia menunjukkan trend menurun yang berterusan.

Lantaran itu, jangkitan dijangka meningkat ketika negara itu menyambut Tahun Baharu China akhir bulan ini, dengan berjutajuta orang dijangka mengembara dari bandar-bandar besar untuk melawat saudara-mara di luar bandar.

Dalam gelombang pertama perjalanan pracuti, data rasmi menunjukkan 34.7 juta orang melakukan perjalanan dalam negara pada 7 Januari meningkat lebih satu pertiga berbanding tahun lalu, menurut media kerajaan.

Ia bermakna, kita tidak mengelak daripada kemungkinan dijangkiti virus ini.

Kesimpulannya, kita harus sentiasa menjaga kesihatan diri dan jika belum mendapat vaksin atau dos penggalak, rebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.

Seperti yang dikatakan oleh Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya dan Profesor Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dari Universiti Sunway Malaysia, vaksin Covid-19 boleh menyelamatkan nyawa.

Mereka menegaskan, sepanjang 12 bulan lepas sejak pelancaran vaksin global, melalui penyelidikan saintifik yang intensif dan pemantauan keselamatan vaksin yang paling komprehensif dalam sejarah, banyak fakta telah dipelajari tentang keupayaan, keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 ini.

Justeru, jangan ambil mudah akan kesihatan diri.

Suara Sarawak