Sekumpulan pendaki bergambar dengan berlatar belakang Gunung Massa.

KUCHING: Gua Massa di Kampung Semadang yang terletak lebih kurang 40 minit perjalanan dari bandar raya Kuching, kini menjadi antara tumpuan khususnya para pendaki kerana ia memiliki tarikan tersendiri yang mungkin sukar digambarkan.

Malah boleh dikatakan rata-rata daripada mereka yang pernah menjelajah ke dalam gua itu berpuas hati, gembira bahkan terpesona dengan suasana dan pemandangan di sekitarnya.

Jika dahulu, gua itu hanyalah dijelajah oleh penduduk Kampung Semadang sahaja tetapi sekarang ia sudah menjadi destinasi pendaki sejak ia diperkenalkan oleh Hannas Ranip, 38, sejak setahun lepas.

Menurut anak jati Kampung Semadang itu, perjalanan ke Gua Massa bukan sahaja memberi pengalaman yang hebat malah pendaki juga akan mendapat pengetahuan mengenai flora dan fauna yang terdapat di sekitarnya.

“Sambil mendaki, saya akan menerangkan tentang tumbuhan tradisional yang digunakan dalam perubatan bagi masyarakat Bidayuh,” katanya yang ditemu-bual.

Menjelas lanjut, Hannas berkata perjalanan di dalam gua akan mengambil masa antara empat hingga lima jam.

“Perjalanan boleh dikatakan agak mencabar sebab ada merangkak dan memanjat batu.

“Di dalam gua juga terdapat pelbagai jenis serangga dan banyak kelawar serta struktur-struktur batu yang cantik,” katanya.

Malah, katanya orang ramai juga boleh mengambil gambar kenangan di dalam gua atau semasa pendakian.

Namun, beliau berkata setiap orang perlu membawa lampu suluh sendiri.

Untuk aktiviti pendakian serta jelajah Gua Massa, bayaran yang dikenakan adalah RM35 seorang bagi kumpulan terdiri daripada lima orang ke atas, RM50 seorang (bagi kumpulan kurang daripada empat orang) dan RM70 seorang bagi seorang hingga dua orang.

Jadi kalau hendak bayaran yang lebih rendah, datanglah dalam kumpulan yang lebih ramai.

Selesai jelajah di Gua Massa, Hannas berkata aktiviti seterusnya adalah mandi di Sungai Semadang iaitu sungai berbatu yang cantik dengan airnya yang bersih dan segar.

“Oleh itu, setiap orang perlu membawa pakaian tambahan kerana ada aktiviti mandi sungai,” katanya.

Sudah pasti selepas menjelajah ke dalam gua, mendaki gunung dan mandi sungai, setiap orang akan berasa tersangat lapar.

Justeru, Hannas juga menyediakan masakan kampung untuk jamuan, dengan bayaran RM15 seorang.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Hannas di talian 012-890 7044.

Pemandangan cantik di dalam Gua Massa, dengan pelbagai susunan struktur batu.
Pemandangan cantik di dalam Gua Massa, dengan pelbagai susunan struktur batu.

Pemandangan cantik di dalam Gua Massa, dengan pelbagai susunan struktur batu.
Sekumpulan pendaki tidak melepaskan peluang merakam gambar di dalam Gua Massa.

Suara Sarawak