KUCHING: Kementerian Kesihatan (KKM) dalam fasa mengenal pasti potensi tanah yang boleh dijadikan tapak untuk membangunkan tempat pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM kini dalam usaha untuk melakukan pemetaan di seluruh Sarawak.

“Saya sudah tanya dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan Adun kawasan (Pantai Damai) berkaitan perkara ini.

Lukanisman (baju hitam) dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni (kanan) ketika membuat lawatan di Klinik Kesihatan Bako.

“Kita sememangnya sudah mempunyai rancangan untuk mengenal pasti tapak tanah yang bersesuaian untuk dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Klinik Kesihatan Bako, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, proses ini perlu melalui Rancangan Malaysia dan buat masa ini, belum ada perancangan untuk pembangunan tersebut.

Menjawab soalan berhubung jumlah pusat kesihatan yang akan dibina di Sarawak, beliau berkata bahawa ia masih belum dibincangkan dan tertakluk kepada kelulusan Kertas Putih Kesihatan yang diunjurkan untuk dibentangkan di Parlimen pertengahan tahun ini.

Lukanisman menjelaskan bahawa Rancangan Malaysia yang akan datang berhubung pembinaan dan menaik taraf kemudahan perubatan akan mematuhi dasar yang digariskan di bawah Kertas Putih Kesihatan.

Suara Sarawak