TANDATANGAN… Abdul Rahman menurunkan tandatangan pada plak sebagai tanda simbolik perasmian KK Pantai Damai di Bandar Baru Samariang, dekat sini, hari ini. FOTO OLEH ALIF NONI :

KUCHING: Penduduk di kawasan Bandar Baru Samariang kini boleh menarik nafas lega apabila siapnya Bangunan Baharu Klinik Kesihatan (KK) Pantai Damai menggantikan klinik yang sedia ada.

Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dahulu ketika di premis lama kawasan agak kecil yang mana beliau menerima banyak aduan daripada kakitangan yang menyatakan mereka memerlukan tempat lebih luas dan selesa.

Menurutnya, tidak dinafikan premis lama klinik kesihatan tersebut agak padat dan tidak selesa bukan sahaja kepada kakitangan yang bertugas tetapi juga untuk orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Jadi, saya telah berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri bersama-sama kakitangan Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian untuk melihat sekiranya kita boleh memindahkan KK ini ke bangunan baharu.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak termasuk pemaju di kawasan ini kita boleh menyediakan sebuah bangunan kepada KK Pantai Damai yang lebih luas dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu KK Pantai Damai di Bandar Baru Samariang, dekat sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rahman Junaidi yang juga  Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi berkata, lokasi klinik yang berada di tengah-tengah taman perumahan akan memudahkan pesakit di sekitar kawasan tersebut untuk mendapatkan rawatan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan sama seperti yang ada di klinik lain terutama dari segi kemudahan kesihatan asas untuk mereka yang mengalami batuk, selsema, mendapat kecederaan ringan, bantuan seperti penyakit asma, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

“Perkhidmatan yang disediakan juga termasuk rawatan untuk ibu mengandung, selepas bersalin dan juga untuk bayi,” ujarnya.

Suara Sarawak