TANAM…Adun Satok, Datuk Ibrahim Baki (tengah) meluangkan masa bersama-sama komuniti menanam anak pokok di sekitar kawasan Kampung Temedak GAMBAR: ALIFF NONI

KUCHING: Sekitar 100 orang penduduk kampung di kawasan Satok menyertai program inklusiviti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di surau Darul Qarar, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki turut bersama-sama komuniti kampung memeriahkan program tersebut.

Program diadakan seawal jam 7 pagi itu dimulakan dengan aktiviti senam robik, diikuti gotong-royong membersihkan surau dan empat lokasi persekitaran termasuk pembersihan rumah terbiar di Kampung Temedak.

Antara aktiviti lain termasuk jualan kompos DBKU, penanaman bunga dan berbasikal oleh para peserta terdiri daripada komuniti kampung Temedak dan Muhibah Kuching.

Terdahulu, Ibrahim turut menyertai kayuhan berbasikal bermula dari perkarangan surau melewati kampung Dagok, Kampung Muhibah, menerusi jalan Parit Lama dan Kampung Patingan kira-kira 1.5 kilometer.

Kumpulan terbabit turut melawat empat lokasi gotong-royong di kawasan Kampung Temedak yang turut berada di sepanjang laluan berbasikal.

Beliau disertai Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang.

Ibrahim pada akhir majlis turut menyerahkan tong sampah kepada 10 wakil penerima sebagai bukti sokongan mengekalkan keindahan hijau di kawasan kediaman, selaras dengan kesinambungan kepada pelan inisiatif DBKU iaitu Clean, Beautiful, Safe, Smart, Sustainable (CBSSS).

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Suara Sarawak