KUCHING: Bandaraya Kuching bakal menjadi tumpuan atlet dunia menjelang acara berprestij Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Mei ini.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim berkata, antara atlet luar yang telah mengesahkan kehadiran termasuk negara Iraq, Morocco, Australia dan New Zealand.

“Setakat ini, mereka antara wakil luar negara menyatakan kehadiran untuk menghantar wakil.

BERCAKAP…Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim.

“Wakil lain juga memberikan respons positif namun ada antaranya yang menunggu keputusan situasi semasa khususnya keadaan pandemik,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, Jumaat memberitahu lokasi kejohanan kini dalam perbincangan bagi memastikan acara berjalan lancar khususnya penelitian dari segi keselamatan, kecemasan, dan keselesaan penonton.

Tegasnya, penentuan lokasi terbaik kejohanan kini dalam perbincangan bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Kementerian Pelancongan Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

“Mereka (pihak berkaitan) mempunyai pengalaman untuk mengatur lokasi yang bagus serta cara terbaik untuk kita melaksanakan kejohanan ini.

“Kita harus mengambil kira dari segala aspek bagi menjamin keselesaan semua khasnya ketika situasi kecemasan,” ujarnya.

Suara Sarawak