KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWPK) akan menyediakan surat sokongan kepada golongan kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan pekerjaan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia adalah salah satu usaha Kerajaan Sarawak menggalakkan OKU yang berkemahiran dan pendidikan mempunyai peluang pekerjaan.

Dari segi pekerjaan katanya, Kerajaan Sarawak amat mengambil berat berhubung kadar guna tenaga dalam kalangan OKU.

RAKAM KENANGAN… Fatimah (tengah) merakam kenangan bersama-sama ahli SDD.

“Disebabkan itu, kerajaan memohon kepada kementerian kita untuk menggalakkan mana-mana individu OKU yang mempunyai kemahiran dan pendidikan memohon pekerjaan yang disediakan.

“Bahkan kami turut mengambil inisiatif membantu OKU yang layak dengan memberi surat sokongan kepada jabatan bertanggungjawab untuk tujuan pengambilan.

“Ini bermakna, ada lorong khas untuk membantu OKU,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku ‘Memahami Budaya Pekak’ di Persatuan Orang Pekak Sarawak (SDD) di sini, hari ini.

Sementara itu kata Fatimah di bawah KWPK, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk mendidik masyarakat berhubung bahasa isyarat serta pelbagai perkara melibatkan komuniti pekak.

Sebagai contoh katanya, KWPK mula memasukkan bahasa isyarat sebagai mata pelajaran di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) SeDidik di Sarawak.

Suara Sarawak