SERBU….Bahagian Siasatan Jenayah IPD Simunjan menyerbu lokasi sabung ayam di Kampung Entanggor, Sebuyau.

 

RAMPAS…Peralatan yang digunakan untuk aktiviti sabung turut dirampas dan dibawa ke IPD Simunjan.

SIMUNJAN: Lapan lelaki lari tidak cukup tanah apabila diserbu sepasukan polis ketika leka dengan aktiviti sabung ayam di Kampung Entanggor, Sebuyau, pada Sabtu.

Bagaimanapun, cubaan lapan suspek berkenaan termasuk seorang penganjur meloloskan diri tidak kesampaian apabila berjaya ditangkap oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Wong Tee Kue berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan hasil pemantauan dan risikan untuk mengekang gejala sosial.

“Beberapa peralatan yang digunakan semasa aktiviti sabung turut dirampas.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Simunjan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1953.

“Jika sabit kesalahan, kesemua suspek berdepan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara,” tegasnya.

Justeru, beliau menyeru masyarakat setempat supaya mengekalkan nilai-nilai murni untuk kesejahteraan komuniti dan jangan cuba melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang yang boleh membawa musibah seperti penyalahgunaan dadah, judi dan sabung ayam yang merugikan diri sendiri dan keluarga tersayang.

Tambahnya, sekiranya ahli masyarakat mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti tersebut boleh salurkan kepada pihak IPD Simunjan untuk tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak