Tan Sri Lim Hock San bersama Pengarah-Pengarah Eksekutif LBS, Isaac Lim, Datuk Richard Lim Lit Chek, Dato Sri’ Barry Lim Hock Seong, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan (dari kiri) manakala Lucas Lim Kim Kiat, Dato’ Cynthia Lim Mooi Pang dan Dato’ Sri Daniel Lim Hock Sing (dari kanan) di Taklimat Media LBS yang bertempat di Galeri Jualan LBS KITA @ Cybersouth.

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”) berusaha untuk mengekalkan prestasi cemerlang 2022 dengan meningkatkan sasaran jualan hartanah kepada RM2.09 bilion pada 2023.

LBS mengakhiri 2022 dengan jumlah jualan hartanah RM2.0 bilion, melepasi 25% angka sasaran 2022 iaitu sebanyak RM1.6 bilion.

Pada sidang taklimat media yang diadakan Selasa, LBS telah mengumumkan perancangan 2023 dan bakal melancarkan sebanyak 12 projek-projek baharu yang meliputi kawasan Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 2.09 bilion dengan 4,021 unit kumulatif.

Berdasarkan lokasi strategik, LBS akan memberi tumpuan kepada pelancaran 2,118 unit dengan nilai GDV berjumlah RM1.1 bilion di Lembah Klang, yang secara konsistennya berupaya menyumbang jualan tertinggi di sepanjang tahun, khususnya di KITA @ Cybersouth, pembangunan perbandaran utama LBS.

Kumpulan turut merancang untuk melancarkan, antara lain, rumah bersambung satu tingkat, rumah bersambung dua tingkat dan rumah bandar di KITA Bestari, sejumlah 817 unit dengan nilai GDV sebanyak RM418 juta.

Pelancaran lain yang dirancang termasuk 155 unit rumah teres dua tingkat Astella di D’Island Residence di Puchong dengan nilai GDV sebanyak RM139 juta dan Blok B, di LBS Prestige Residence, Seri Kembangan yang akan terdiri daripada 725 unit dengan nilai GDV sebanyak RM313 juta.

Projek baharu di Pahang termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands (642 unit dengan jumlah GDV RM482 juta) manakala di Perak, LBS berhasrat melancarkan fasa-fasa seterusnya di Taman Kinding Flora, Chemor yang terdiri daripada rumah teres satu tingkat (94 unit dengan jumlah GDV RM27 juta), dan rumah rangkaian kluster satu tingkat (90 unit dengan jumlah GDV RM22 juta).

LBS turut mengorak langkah di Johor dengan projek-projek pembangunan termasuk pangsapuri servis Zenit Molek (988 unit dengan jumlah GDV RM436 juta) di Taman Molek, rumah berkembar dua tingkat Imperial Garden (63 unit dengan jumlah GDV RM40 juta), dan rumah bersambung satu tingkat Emerald Garden (26 unit dengan jumlah GDV RM11 juta), di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor.

Pada 2022, LBS telah melancarkan sejumlah 4,910 unit bernilai RM1.63 bilion. Pelancaran ini merupakan pembangunan di seluruh KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Bukit Jalil dan Blok A, Prestige Residence di Seri Kembangan, Lembah Klang.

Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS bercakap pada Taklimat Media LBS 2023

Selain itu, LBS telah berjaya melancarkan dua projek Rumah Idaman MBI iaitu Idaman BSP (Bandar Saujana Putra) dan Idaman Melur (Cybersouth).

Kini, LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM5.7 bilion. Pada 31 Disember 2022, simpanan tanah masa depan LBS berjumlah kira-kira 2,972 ekar, diunjurkan bagi memastikan LBS kekal bersaing di pasaran hartanah untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Di samping itu, LBS juga mempunyai jualan belum dibil kira-kira RM2.46 bilion, iaitu jumlah jangkaan yang jelas memberikan pendapatan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Kumpulan berjaya memperoleh jualan hartanah yang kukuh di sebalik 2022 yang mencabar selain didorong oleh promosi kempen pemasaran kreatif seperti kempen LBS Fabulous Extra 2022-23, yang menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM1.5 juta untuk dimenangi.

Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS bercakap pada Taklimat Media LBS 2023.

Bercakap pada Taklimat Media LBS 2023, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “LBS jelas teruja menamatkan 2022 dengan bergaya apabila melepasi sasaran jualan hartanah 2022 kami sebanyak 25%.

Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan petunjuk bahawa projek pembangunan kami terletak di lokasi strategik pada julat harga berpatutan yang memenuhi keperluan orang ramai.

Di samping itu, kami berjaya menyerahkan milikan kosong sebanyak 2,957 unit bernilai RM1.27 bilion di sebalik cabaran getir 2022 dan bergelut dengan ketidaktentuan iklim ekonomi serantau, krisis rantaian bekalan serta kerapuhan geopolitik.

Menjelang tahun 2023, ketidaktentuan ekonomi dan pasaran dijangka masih merupakan sebahagian dari cabaran utama. Justeru itu, LBS telah merangka perancangan strategik bagi mengekalkan prestasi serta meningkatkan lagi sasaran jualan hartanah kami.

Sebagai Pemaju Rakyat, kami menyasar untuk melancarkan hartanah dengan nilai GDV sebanyak RM2.09 bilion di beberapa buah negeri. LBS komited untuk memastikan hartanah kami terus kekal relevan serta mampu dimiliki oleh bakal pembeli rumah.

Di dalam menyusuri masa yang mencabar ini, kami amat menghargai dan menyedari kepentingan modal insan yang membawa Kumpulan ke hadapan.

Oleh itu, LBS beraspirasi untuk meningkatkan kemahiran staf serta memberi tumpuan kepada inisiatif pendigitalan yang terbukti telah membawa LBS ke tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, kami berhasrat untuk memberi ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividen kami iaitu membayar 30% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan.”

Suara Sarawak