BERCAKAP… Wee ketika ditemui pemberita di kediamannya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023, di sini, hari ini. Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Maklumat berhubung fungsi sekolah Cina di Sarawak akan lebih banyak dikongsikan dengan Yayasan Sarawak selepas ini, kata Datuk Richard Wee.

Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian itu meluahkan harapan tersebut selepas dirinya dilantik sebagai ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak.

“Saya telah terlibat dengan lembaga pengarah sekolah Cina dan berharap dapat membawa lebih banyak maklumat kepada Yayasan Sarawak untuk membolehkan mereka memahami fungsi sekolah Cina di Sarawak.

“Saya juga ingin mengetahui bagaimana biasiswa dinilai dan kita berharap dapat mencapai peruntukan biasiswa yang lebih adil, telus dan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023, di sini, hari ini.

Pada 16 Januari lalu, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menerusi laman media sosialnya memaklumkan bahawa Wee bakal dilantik sebagai ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak yang baharu.

Ia sekali gus menyaksikan satu lagi kedudukan tinggi diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada pemimpin dalam kalangan komuniti Cina di negeri ini.

Sehubungan itu, Wee yang juga bendahari Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak Bersatu (Sha Dong Zong) memaklumkan bahawa beliau berbesar hati dengan pelantikan tersebut.

“Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum menerima surat pelantikan rasmi,” ujarnya.

Sementara itu, sempena Tahun Baharu Cina, beliau berharap penglibatan yang lebih positif wujud dalam kalangan masyarakat.

“Kita mesti menghargai sama ada kerajaan atau pembangkang yang telah melakukan sesuatu yang baik,” ujarnya.

Suara Sarawak