KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas serbuk ekstasi bernilai RM1.9 juta ketika menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Bulatan Park, Miri pada Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, nilai rampasan dadah dianggarkan seberat 39,8000 gram tersebut menjadi yang tertinggi di Sarawak sejak tahun 2021.

Katanya, suspek berumur 25 tahun itu ditangkap menerusi Op Tapis Khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Turut dirampas peralatan penyimpanan dan pembungkusan seperti tong plastik, besen, penapis, corong, senduk, penimbang, sealer dan bungkusan juice master.

“Suspek mempunyai dua rekod dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan satu rekod jenayah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek memperoleh dadah tersebut dari rakan sejenayahnya dan membungkus dadah tersebut menggunakan paket ‘Juice Master’ untuk diedarkan kepada pembeli dari sekitar Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching.

Katanya, dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 132,667 orang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, manakala suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Miri mulai 19 hingga 23 Januari 2023 iaitu selama lima hari,” katanya.

Suara Sarawak