Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan kendiri di Sarikei.
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan kendiri di Sarikei.

SARIKEI : Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis pick up Ford Reptor yang dipandunya merempuh tiang elektrik dan terbabas ke dalam parit di Jalan Nyelong By-Pass di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, mangsa Lau Chung, 49, dipercayai dalam perjalanan dari bandar menghala ke rumahnya yang beralamat di Jalan Meruton.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik dan terbabas ke dalam parit.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di lokasi mangsa masih berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata operasi hampir sejam itu dilakukan dengan tanpa menggunakan peralatan menyelamat (pemotong)

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja berjaya dikeluarkan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada polis sebagai tindakan lanjut.

“Kita juga melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan lokasi itu benar-benar selamat sebelum menamatkan operasi pada jam 4.47 pagi,” katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Suara Sarawak