SIBU: Seorang lelaki terbunuh setelah kereta yang dipandunya melanggar pokok dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Wawasan di sini pada awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Poh Ching Peng, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik hospital Sibu setelah tersepit di dalam kenderaannya.

MAYAT mangsa tersepit di dalam kenderaannya.

Sementara, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2 pagi.

Susulan itu, ujar beliau, 11 orang anggota diketuai PBK II Mohd Faizal Bujang dikerahkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera Scania dan EMRS.

KEADAAN kenderaan mangsa yang melanggar pokok di Jalan Wawasan pada awal pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi terlibat dalam kemalangan kendiri melanggar pokok.

“Terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri masih tersepit di bahagian pemandu,” jelasnya.

ANGGOTA bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa dari kenderaannya.

Beliau mengatakan pihak bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung untuk mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun, tegas beliau, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik hospital Sibu di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

ANGGOTA bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa dari kenderaannya.

Operasi tamat pada jam 3.20 pagi.

Suara Sarawak