BINTULU: Seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun dikhuatiri lemas di sungai berhampiran sebuah kilang di Belaga, semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Balai Polis Belaga pada jam 3.40 petang.

Susulan laporan itu katanya, anggota pasukan penyelamat sedang dalam perjalanan ke lokasi menggunakan kenderaan syarikat berkenaan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat hari ini.

“Ini akan melibatkan tiga anggota dari BBP Belaga dan 10 anggota polis.

“Perjalanan mereka ke lokasi kejadian menggunakan jalan balak pada jam 9.27 pagi tadi akan mengambil masa empat hingga lima jam untuk tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh wakil syarikat berkenaan, kejadian itu melibatkan seorang pekerja kilang warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Basrol.

Berita lanjut akan menyusul.

Suara Sarawak