PENGELUARAN wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar terus menjadi permintaan rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan siaran langsung di Facebook rasmi miliknya.

Permintaan pengeluaran KWSP bersasar ini dikatakan boleh membantu dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh pencarum.

Permintaan ini juga dikatakan langkah bijak kerajaan dalam memberi peluang kepada rakyat untuk mengeluarkan wang simpanan mereka bagi kegunaan tertentu.

Pengeluan KWSP bersasar ini adalah suntikan pengeluaran tunai dalam caruman KWSP yang ditentukan jumlahnya oleh kerajaan kepada golongan sasar.

Pada pengeluaran khas KWSP sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar berjumlah RM10,000 daripada akaun satu dan akaun dua pencarum.

Rata-rata rakyat yang meminta pengeluaran itu adalah mereka yang menghadapi masalah hutang tertunggak, kesusahan dan taraf ekonomi rakyat yang teruk terutama pada pascapandemik. Ini secara terang menunjukkan sebahagian rakyat berada dalam keadaan yang sangat menekan emosi.

Ramai daripada mereka hidup dalam keadaan yang sangat tertekan kerana dibelenggu hutang tertunggak dan kos sara hidup yang terus meningkat.

Oleh itu, mereka tidak berhenti merayu kepada pihak kerajaan dalam memastikan suara rakyat, khususnya pencarum KWSP didengari untuk menuntut pengeluaran wang mereka sendiri bagi menyelesaikan masalah hutang, membaiki ekonomi dan taraf hidup.

Rakyat khususnya pencarum mungkin sudah teruk terhimpit dengan kesusahan.

Malah, terdapat segelintir daripada mereka yang sudah dan bercadang mengambil ‘jalan pintas’ untuk menyelesaikan masalah dengan pengeluaran KWSP bersasar ini.

Jika pengeluaran khas KWSP RM10,000 yang lalu dikatakan ‘penyelamat’ untuk mereka yang kesepitan oleh hidup, ada pula pihak yang berkata pengeluaran itu sebenarnya tidak banyak membantu.

Ini kerana, banyak pencarum yang telah mengeluarkan pengeluaran khas KWSP mereka terdahulu mempunyai baki simpanan yang rendah.

Sekali imbas pengeluaran kali ini mungkin hanya memenuhi sebahagian kecil kehendak pencarum sahaja yang berbaki positif.

Peningkatan kos sara hidup dan beban hutang pada waktu ini adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.

Sama ada rakyat adalah pencarum KWSP atau tidak, semua bakal menempuh keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini.

Oleh itu, penyelesaian daripada pengeluaran KWSP bersasar mungkin tidak membantu sepenuhnya.

Ia mungkin boleh melegakan pencarum untuk tempoh satu ke dua bulan sahaja tetapi keadaan ini mungkin memberi kesan buruk pada hari tua kita.

Jangan lupa objektif kita mencarum KWSP iaitu simpanan pada hari tua, agar kita tidak terkapai-kapai mencari wang pada umur 60 tahun ke atas.

Seboleh-bolehnya cubalah untuk bertahan dan berjimat sebaik mungkin dengan kehidupan kini agar segala hutang dan tekanan hidup kita diselesaikan.

Bagi hutang yang tidak perlu atau hanyalah kehendak sebaik-baiknya tutup selesaikan tersebut secepat mungkin supaya kita ada lebihan duit untuk meneruskan kehidupan.

Begitu juga dengan keperluan yang tidak mendesak, ajar anak-anak kita berjimat cermat dalam segala hal termasuk penggunaan elektrik, air dan sebagainya supaya mereka dapat membantu kita.

Sebaik-baiknya simpan wang lebihan untuk menampung kesusahan kita apabila memerlukan wang seperti kos rawatan perubatan dan yang lain.

Pengeluaran KWSP bersasar hanyalah kelegaan sementara dan ia tidak banyak menjanjikan kesenangan dalam tempoh yang lama.

Namun, perlu kita akui ada segelintir rakyat yang amat berharap kepada pengeluaran ini kerana mereka melihat peluang sebegitu harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Suara Sarawak