KUCHING: Media arus perdana terus memainkan peranan penting kerana menyampaikan berita sahih kepada masyarakat.

Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata meskipun pada masa ini masyarakat bergantung sumber berita daripada media sosial, namun platform media arus perdana masih perlu khususnya dalam menangani isu berita palsu.

“Ini kerana media arus perdana mempunyai profesionalisme dan kredibiliti,” katanya.

Sim (baris depan, tengah) bersama-sama Wee (baris depan, lima kanan) serta ahli-ahli Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian merakamkan gambar dengan wakil-wakil media sempena Majlis Perhargaan Bersama Media di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhargaan Bersama Media anjuran Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee.

Bagaimanapun, Sim berkata media sosial juga penting pada era ini kerana ia menjadi platform utama untuk masyarakat mengikuti perkembangan semasa.

Sementara, Wee berkata pihaknya majlis penghargaan bersama media adalah sebagai tanda penghargaan pihaknya di atas sokongan media arus perdana kepada persekutuan.

Katanya program yang diadakan setiap tahun menjelang sambutan Tahun Baru Cina itu juga bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama persekutuan dengan media arus perdana.

“Terima kasih kepada pengamal media yang sentiasa memberi liputan kepada kami.

“Selepas ini, kami akan mengadakan lebih banyak lagi aktiviti dan berharap kita akan terus bekerjasama,” katanya.

Majlis menyaksikan penyampaian angpau kepada 15 agensi media di Sarawak, termasuk limau mandarin sebagai simbolik sambutan Tahun Baru Cina.

Suara Sarawak