KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 35.22 gram di kediamannya di Taman Malihah, Matang, November tahun lalu.

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusof menjatuhkan hukuman terhadap Ibrahim Zainal, 36, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh (tengah) bersama-sama tertuduh lain (kes senjata) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 4 oleh anggota polis di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah rumah di Taman Malihah, Matang, sekitar jam 11.30 pagi, 10 November 2022 lalu.

Mohd Taufik memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 10 November 2022.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan telah melakukan satu serbuan sebuah rumah di Taman Malihah menahan seorang lelaki tempatan (tertuduh) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan dijalankan di dalam dua buah bilik rumah terbabit, tertuduh cuba menghalang pihak polis memeriksa kandungan beg kitar semula berwarna merah.

Pemeriksaan lanjut menjumpai satu paket sederhana berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Suara Sarawak