BERCAKAP… Chieng Jen bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) disaran untuk menyediakan pelan induk berkaitan  projek tebatan banjir dan sistem saliran di kawasan seliaan mereka.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata, perkara tersebut penting untuk memperincikan mengenai perancangan MPP sekali gus menangani kejadian banjir kilat.

“Sekiranya MPP tidak mempunyai perancangan rapi bagi kawasan seliaan mereka dan menyediakan pelan induk, isu banjir tidak akan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan Pengerusi MPP yang juga Adun Batu Kitang Kitang Lo Khere Chiang untik Chong mendapatkan lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek tebatan banjir.

Sehubungan itu, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin memaklumkan beliau bersedia untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

“Dalam pada itu, saya telah menulis surat kepada Lo dan MPP bertarikh 28 Disember 2022 bertujuan meminta butiran dan dokumen berkaitan sekali gus berhasrat untuk mengadakan mesyuarat di pejabat MPP pada 10.30 pagi, hari ini.

“Perkara yang diperlukan termasuk pelan induk untuk projek tebatan banjir termasuk kos terperinci bagi setiap projek yang berada di bawah bidang kuasa MPP .

“Ia juga memerlukan salinan surat daripada MPP kepada Kerajaan Sarawak dan Persekutuan yang meminta pembiayaan bagi projek-projek tersebut, maklumat penggunaan dana pada tahun sebelum ini serta butiran peruntukan yang diumumkan bagi tahun 2023 mengenai projek tebatan banjir di Kuching.

“Segala dokumen dan butiran itu penting, supaya saya boleh membahaskan isu tersebut dengan lebih terperinci di peringkat Parlimen,” jelasnya.

Bagaimanapun, Chong berkata beliau berasa kesal apabila menerima maklum balas daripada Lo menerusi surat bertarikh 30 Disember 2022 yang menolak permohonan untuk mengadakan mesyuarat sekali gus menyatakan bahawa MPP tidak mempunyai pelan induk untuk projek tebatan banjir di kawasan tanggungjawab mereka.

Suara Sarawak