KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) masih menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf tiga pasar iaitu Sungai Maong, Batu 7 dan Batu 10.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata, surat permohonan berkaitan perkara tersebut telah dikemukan kepada Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU).

“Jadi MPP sekarang hanya menunggu keputusan kerajaan negeri untuk memberikan peruntukan supaya kita dapat melaksanakannya.

BERCAKAP…. Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Lo Khere Chiang (tengah) ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediamannya di Batu Kawa.

“Setakat ini kita masih belum mendapat sebarang maklum balas positif,” katanya ketika ditemui di kediamannya sempena majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina, hari ini.

Lo yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang berkata anggaran kos bagi menaik taraf setiap pasar berkenaan adalah sekurang-kurangnya RM10 hingga RM20 juta.

Ditanya bila kali terakhir MPP membuat permohonan susulan, Lo menjawab ia telah dilakukan namun dijangka akan memakan masa bagi proses perancangan teliti.

“Permohonan itu semestinya memakan masa berikutan ketiga-tiga kawasan itu sangat sesak serta banyak perkara lain yang kita mahu pertingkatkan,” ujarnya.

Beliau menambab projek terbabit adalah untuk menaik taraf dan menambah bangunan di lebihan lokasi lama sedia ada.

Terdahulu, majlis rumah terbuka Lo turut menerima kunjungan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Abang Johari turut diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Suara Sarawak