BERCAKAP…. Kim Shin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui dekat sini, pagi tadi. Foto: Ramidi Subari

KUCHING: Kesemua Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS)
di sempadan Sarawak meliputi Brunei dan Indonesia perlu dinaik taraf dengan kemudahan terkini bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke CIQ Biawak dan mendapati kemudahan di tempat tersebut jauh berbeza dengan negara jiran dan perlu dinaik taraf.

Menurutnya, begitu juga dengan CIQ di Entikong, Tebedu, Sungai Tujoh dan lain-lain. Ia sememangnya memerlukan perhatian dari Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, terdapat juga cadangan untuk mengadakan perkhidmatan bas yang beroperasi antara Kuching dan Singkawang.

“Justeru, dengan pertambahan kenderaan awam sedemikian kita sememangnya memerlukan CIQ yang lebih selesa dan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui dekat sini, pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah.

Sehubungan itu, Kim Shin yang juga Adun Senadin memaklumkan baru-baru ini beliau telah mengadakan lawatan ke CIQ Sungai Tujoh dan mendapati ramai pengunjung dari Miri dan Brunei, terpaksa beratur berjam-jam susulan kemudahan yang tidak mencukupi.

“Ia bukan sahaja melibatkan kaunter tetapi juga pegawai yang ditugaskan di sempadan tidak mencukupi.

“Oleh itu, pentingnya perhatian dan peruntukan melibatkan CIQ di negeri ini,” ujarnya.

Suara Sarawak