KUCHING: Kelab handalan, Nangka United akan melayani kunjungan Kuching City FC yang akan bertandang ke Bahagian Sibu pada 28 Januari ini.

Aksi persahabatan kedua-dua pasukan terbabit merupakan antara salah satu lokasi persinggahan The City Boys sempena siri jelajah mereka musim ini.

Skuad Nangka United pada perlawanan tersebut dikendalikan bekas penyerang skuad kebangsaan yang juga bekas pemain lincah skuad Sarawak, Gilbert Casidy Gawing.

AKAN DIUJI…Pemain Kuching City bersemangat ketika sesi latihan. – FOTO GHAZALI BUJANG

Pengurus pasukan Irwanshah Mohamad memberitahu, perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Tan Sri Azman Hashim, Sibu Jaya

“Kita akan mempertaruhkan pemain di kawasan Sibu pada perlawanan tersebut.

“Ia sebagai pendedahan terbaik kepada mereka yang akan berdepan pemain berpengalaman dari skuad Kuching City,” tegas Irwanshah kepada Arena Suara Sarawak.

Sambil menyatakan perlawanan tersebut akan bermula pukul 4:00 petang, Irwanshah turut mengakui akan menampilkan kelibat beberapa pemain muda pada aksi yang dijangka menjadi tumpuan peminat di Sibu nanti.

Selain perlawanan tersebut, skuad Kuching City akan menentang pilihan Mukah (24 Januari) dan pilihan Betong (26 Januari).

Suara Sarawak