MIRI: Pencarian seorang lelaki warga emas yang hilang di Pasir Putih Kuala Suai, Niah, di sini ditamatkan semalam berikutan tiada sebarang petunjuk.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang menyertai pencarian pada hari ketujuh telah mempertingkatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Katanya, sektor pencarian diperluaskan sekitar 15 KM dengan menumpukan kawasan kebun sawit, Jalan Danau kawasan paya dan sepanjang tebing Sungai Suai.

“Usaha pencarian memasuki hari ketujuh ini dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pada masa yang sama penduduk setempat turut menggembleng usaha untuk mencari mangsa yang dilaporkan hilang.

“Namun begitu, mangsa hilang masih belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk atau jejak dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi akan disambung semula sekiranya mendapat sebarang petunjuk baharu.

Justeru katanya, pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi serta orang ramai yang terlibat dalam operasi SAR ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis IPD Miri di talian 085-432533.

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Adna Sulong, berumur 61 tahun dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu, kira-kira jam 9.54 malam.

Mangsa kali terakhir dilihat mengenakan topi, berbaju T berwarna kelabu, berseluar pendek paras lutut berwarna coklat dan memakai kasut paya.

Suara Sarawak