KAPIT: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mengemudikan perahu panjang di Nanga Belawai, Batang Rajang di sini pada malam Khamis.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.40 malam.

LUGOM Bengang dilaporkan hilang di Nanga Belawai, Batang Rajang pada malam Khamis.

Susulan itu, tiga anggota diketuai PBK II Abu Seman yang menggunakan sebuah pacuan empat roda telah bergegas ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan maklumat mangsa yang hilang.

“Mangsa dikenali sebagai Lugom Bengang berusia 73 tahun dan lokasi sebenar mangsa dikhuatiri hilang berada di muara Sungai Belawai, seberang Batang Rajang yang hanya boleh menggunakan perahu,” jelas beliau.

ANGGOTA bomba ketika berbincang dengan keluarga mangsa.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan atas faktor keselamatan kerana hari sudah malam dan cuaca hujan lebat di lokasi.

Pihak bomba juga, katanya, turut menasihatkan keluarga mangsa untuk membuat laporan polis dan operasi SAR akan dimulakan pada pagi ini (Jumaat).

ANGGOTA bomba ketika berbincang dengan keluarga mangsa.

“Maklumat daripada pihak keluarga mangsa, sekitar jam 7.55 malam (Khamis) mangsa sedang mengemudi perahu panjang dalam perjalanan dari Sungai Yong hendak menuju ke Sungai Belawai dengan menyeberangi Sungai Batang Rajang,” katanya.

Menurut saksi setempat, mangsa tiada di dalam perahu dan hanya perahu sedang berpusing di muara sungai dalam keadaan enjin bot masih hidup, ditambah keadaan cuaca hujan lebat serta kilat.

Suara Sarawak