KUCHING: Isu kenaikan harga barang selepas musim perayaan sering hangat diperkatakan oleh rakyat selama ini.

Apatah lagi kenaikan harga barangan mentah, makanan dan keperluan harian pastinya membebankan orang ramai terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan.

Hari ini, Suara Sarawak membuat tinjauan harga barangan di dua buah pasar raya terkemuka, selepas tiga hari sambutan Tahun Baharu Cina bagi meninjau perkembangan semasa.

Ismawi Shamsudin

“Harga barangan memang ada naik, paling ketara adalah harga makanan.

Apabila kita keluar membeli barang keperluan rumah seperti telur, ia sekarang mencecah sehingga RM20 sepapan.

Untuk membeli yang lebih murah pada harga RM13 sepapan, saiznya agak kecil.

Manakala harga sayur juga naik, dahulu sayur midin hanya RM2 seikat, kini harganya RM5.

Kedai makan juga menaikkan harga seperti kopi kosong RM1.50 tetapi ada meningkat sehingga lebih RM2 segelas.

Justeru, diharap pihak kerajaan mengkaji balik kenaikan harga barangan kerana ia membebankan rakyat.

Barangan semakin mahal tetapi tiada kenaikan gaji.”

Ismawi Shamsudin

Wati

“Harga selepas musim perayaan Tahun Baru Cina ini ada naik sedikit. Biasanya sayur tiga ikat RM5, sekarang seikat RM3, jauh sangat perbezaan harga.

Sebelum ini buah limau RM6 sekilogram sekarang RM10 sekilo. Oleh itu, saya berharap agar kerajaan campur tangan dalam kenaikan harga barang sekarang.

Sebagai peniaga makanan, apabila kos barang naik maka modal berniaga pun meningkat, tetapi untung tidak seberapa.

Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada para peniaga, malah orang awam juga terkesan.”

Wati

Mohd Nahar

“Sebagai orang awam kita terpaksa akur dengan kenaikan harga selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Barangan sekarang ada yang mengalami kenaikan harga dalam lebih RM1 terutamanya makanan seperti ikan, sayur, dan lain-lain.

Saya terpaksa akur dengan kenaikan harga barang walaupun agak mustahil untuk ia menurun.”

Mohd Nahar

Rimah

“Selepas sambutan Tahun Baru Cina, terdapat harga barang yang naik dan ada juga masih harga lama.

Tetapi harga telur masih mahal. Kalau beli beras ada promosi baru ada murah sedikit.

Harga minyak masak walaupun ada menurun tetapi ia cuma terhad kepada dua paket bagi minyak masak dalam plastik.

Saya berharap ada tindakan daripada kerajaan untuk membantu mengawal kenaikan harga barang ini.”

Rimah

Suara Sarawak