Padah ugut guna samurai
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mengugut pasangan tunang menggunakan sebilah samurai.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Teo Lip Seng, 39, yang merupakan ahli perniagaan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengugut mangsa lelaki berusia 37 tahun dan mangsa wanita berusia 35 tahun kerana menyangka lelaki tersebut merogol kekasihnya.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsapuri mewah di sini, kira-kira jam 9.20 pagi, 21 November tahun lalu.

Menurut fakta kes, semasa kejadian pengadu yang merupakan mangsa wanita bersama-sama anak dan tunangnya telah didatangi oleh dua orang lelaki.

Salah seorang daripada lelaki (tertuduh) tersebut dikenali mereka manakala seorang lagi tidak dikenali.

Tertuduh kemudian mengacukan sebilah samurai ke arah pasangan tersebut sambil mengarahkan mereka menyerahkan telefon bimbit dan komputer riba.

Selain itu, rakan tertuduh memegang sebilah pisau daging di hadapan pengadu sambil mengugut.

Manakala, tertuduh terus memarahi mangsa lelaki kerana telah merogol teman wanitanya selain memaksa mangsa mengikuti mereka ke suatu tempat.

Hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja mengugut pengadu dan tunangnya dengan menyatakan akan membuat perkara yang tidak diingini hingga menyebabkan ketakutan terhadap pasangan tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Azmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak