Nancy ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit di Dewan Lakis, Masjid An-Nur

SIBU: Masyarakat perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya berada di kawasan berisiko banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi memastikan keselamatan mereka yang terjejas akibat banjir.

“Bagi mereka yang bersekolah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mungkin membenarkan pembelajaran di pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya memerlukan tempat untuk belajar.

“Yang penting, kita perlu ikut nasihat daripada mereka kerana kita mahu semua yang terjejas dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit di Dewan Lakis, Masjid An-Nur, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, terdapat dua saluran PPS telah dibuka di Sarawak melibatkan kawasan Pantai Damai dan Tanjung Datu setakat ini.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menyalurkan bantuan untuk mangsa banjir dari segi bekalan makanan dan sebagainya.

“Di PPS itu juga, terdapat sukarelawan yang akan membantu untuk memastikan keadaan di pusat tersebut sentiasa teratur.

“Kita mahu tempat (PPS) ini bersih dan tidak berbau supaya orang ramai berada dalam keadaan yang selesa,” katanya ringkas.

Suara Sarawak