BINTULU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu merampas masing-masing 235 pil disyaki ecstacy seberat 71.46 gram, sepuluh pil Eramin 5 dan dadah dipercayai ketamin seberat empat gram dengan nilai keseluruhan RM15,950 daripada seorang lelaki tempatan, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata, suspek berumur 39 tahun itu ditangkap di kawasan Pier 99 Tebingan Bintulu berhampiran sebuah premis hiburan di Jalan Abang Galau, di sini, kira- kira jam 1 pagi.

Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang dipercayai digunakan suspek untuk aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bintulu.

Suspek lelaki tempatan ditahan di kawasan Pier 99 Tebingan Bintulu berhampiran sebuah premis hiburan di Jalan Abang Galau, Bintulu, pada Ahad.

Hasil siasatan awal polis, dipercayai dadah tersebut untuk tujuan pengedaran di sekitar kawasan Bintulu dan boleh digunakan untuk lebih kurang 350 orang.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Jika sabit kesalahan di bawah Akta 39B ADB 1952, boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjarakan seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 pula, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM100,000,”katanya lagi.

Pil ecstacy, Eramin 5 dan dadah jenis ketamin dirampas daripada suspek lelaki tempatan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu.

Bartholomew, dalam pada itu, menegaskan bahawa tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini diseru untuk memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak