SENI tari bukanlah semudah yang disangka. Ia memerlukan kesabaran, minat dan latihan yang konsisten bagi memastikan persembahan yang diberikan menarik di mata orang awam.

Dengan gerakan koreografi, sama ada perlahan atau rancak, kedua-duanya memerlukan kekuatan dari segi tubuh badan untuk memaparkan lenggok yang cantik.

Pegawai Kebudayaan Majlis Seni Sarawak (MSS) merangkap jurulatih tari di MSS Faizal Othman, 44, ketika ditemu bual pada malam sambutan tahun baharu 2023 berkata MSS berperanan besar untuk mengekalkan seni tari tradisional di Sarawak.

Faizal Othman

Menurutnya, menjadi objektif mereka untuk memelihara dan memulihara kebudayaan, kesenian di negeri ini khasnya supaya kebudayaan di Sarawak tidak luput dek zaman.

“Kita sedia maklum bahawa bidang kesenian tarian tradisional Sarawak semakin dilupai. Justeru, MSS berperanan untuk memastikan ia kekal relevan dalam kalangan masyarakat setempat.

“MSS sentiasa menekankan asas tarian tradisional agar seni tari ini tidak hilang, lebih-lebih lagi pada zaman yang serba moden ini. Inilah peranan dan perjuangan saya dan rakan-rakan di MSS agar seni ini dapat terus diwarisi hingga ke generasi masa akan datang,” katanya.

MEMUKAU… penari MSS menyampaikan persembahan menarik kepada orang awam sempena sambutan tahun baharu 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Sudah berkecimpung dalam bidang ini lebih 20 tahun, Faizal mendedahkan bahawa tidak mudah untuk membimbing penari-penari yang pelbagai lapisan umur, namun mereka sentiasa sedaya upaya membuat yang terbaik.

Katanya, disiplin dalam kalangan para penari sentiasa dititikberatkan supaya lebih berdisplin, di samping melatih mereka untuk menjadi lebih yakin terhadap bakat yang dimiliki.

“Dalam pada itu, kita juga mahu mengubah persepsi masyarakat agar tidak memandang serong terhadap seni kebudayaan. Beri galakan, sokongan dan dorongan kepada mereka,” katanya ringkas.

SERAGAM… penari MSS merakamkan gambar bersama-sama sebagai tanda kenangan.

Mengulas berhubung konsep yang mereka persembahkan pada malam sambutan tahun baharu, Faizal memberitahu bahawa persembahan tersebut mengetengahkan penceritaan tentang perpaduan.

“Berunsurkan tarian alam semula jadi melibatkan angin, air, tanah dan sebagainya, manusia bersatu untuk menghirup udara segar di alam yang sama.

“Secara ringkasnya, kita dapat hidup dengan lebih baik dan segar apabila manusia bersatu. Itulah konsep yang diunjurkan dalam seni tarian kontemporari yang dipersembahkan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar bidang kesenian ini dapat terus berkembang dari semasa ke semasa.

Suara Sarawak