KUCHING: AirAsia Aviation Group sekali lagi diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia untuk 2023.

AirAsia Malaysia (Ak), AirAsia Thailand (FD) dan AirAsia Filipina (Z2) serta syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X Malaysia (D7) dan Thai AirAsia X (XJ) diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi terhadap Covid-19 secara keseluruhan dengan penilaian 7/7 bintang daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata keselamatan adalah faktor penentu utama bagi para pengembara dan juga faktor utama mempengaruhi reputasi mana-mana syarikat penerbangan, lebih-lebih lagi selepas pandemik.

“Kami akan terus mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pakar penerbangan di Airlineratings.com atas pengiktirafan mereka.

“Dalam tempoh sekatan perjalanan pada dua tahun lalu kami memperkenalkan pelbagai inovasi dan prosedur tanpa sentuhan untuk menjadikan penerbangan lebih lancar dan bersih.

Semua langkah ini membantu memulihkan keyakinan dalam perjalanan udara dan merangsang pengguna untuk terbang bersama-sama kami,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara, Ketua Pengarang dan Pengasas Airlineratings.com, Geoffrey Thomas turut memuji AirAsia kerana terus mengutamakan aspek keselamatan dan integriti operasi terhadap Covid-19.

Tambahnya, semua syarikat penerbangan yang diiktiraf juga lulus dalam audit keselamatan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) utama – IOSA, yang meliputi lebih daripada 1,060 parameter dan merupakan penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

“Kami tidak sabar untuk melihat AirAsia terus terbang tinggi pada masa hadapan berikutan pemulihan sektor perjalanan udara yang pantas,” ujarnya.

Suara Sarawak