KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan kerana menyembunyikan jet air yang dilaporkan dicuri.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Faizzirul Ahmad Suharfian Syah, 26, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabat sebuah bangunan di Bandar Baru Semariang, di sini pada 30 Disember lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 30 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada 27 Disember 2022, sekitar jam 8 pagi, pengadu memaklumkan kepada rakan sekerjanya bahawa pintu pejabat telah dibuka dan diumpil.

Pemeriksaan lanjut mendapati dua unit jet air, tiga unit pemotong rumput, rantai gergaji, seunit mesin penyedut habuk dan segulung paip hilang dicuri dengan kerugian kira-kira RM3,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh InspekMerylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak