REMAN…suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 3 oleh anggota SPRM

KUCHING: Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa.

Pengurus besar tersebut disyaki menyalahgunakan kuasa dan jawatannya untuk melantik sebuah syarikat dengan suspek mempunyai kepentingan bagi dirinya sendiri.

Justeru Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali mengeluarkan perintah reman hingga 17 Januari depan.

Menurut sumber, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, suspek melantik sebuah syarikat menyediakan cenderahati dan kerja-kerja persiapan Majlis Penghargaan untuk sebuah Jabatan Kerajaan Negeri pada tahun 2020 bernilai RM27,800 yang mempunyai kepentingan diri sendiri.

Suara Sarawak