Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

KUCHING: Perbincangan yang teliti diperlukan berkaitan hal penting termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk bidang kesihatan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perbincangan melibatkan Premier dan Timbalan Perdana Menteri merangkap penyelaras Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Datuk Seri Fadillah Yusof bersama-sama jabatan berkenaan penting.

Menurutnya lagi, perdana menteri sebelum ini juga telah menjelaskan perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

“Ia termasuk pemberian semula hak Sarawak tetapi perincian secara terperinci perlu dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Ibu Pejabat SUPP, di sini, semalam.

Tambahnya, perincian serta dasar yang telah dipersetujui para menteri dan jawatankuasa teknikal MA63 perlu diperakui bersama-sama pegawai yang berkaitan.

Ia kerana perbincangan MA63 hanya dilakukan di peringkat persetujuan menteri sahaja sebelum ini.

“Mesyuarat sebelum ini hanya melibatkan menteri, manakala dasar dan perincian diserahkan kepada pegawai menyebabkan ia mengambil masa yang panjang.

“Kita lihat bahawa perkara ini perlu melangkaui lebih, bukan di peringkat ahli politik sahaja, katanya ringkas.

Sehubungan itu, Dr Sim meluahkan harapan agar pemimpin yang terlibat mempunyai pemikiran yang sama agar dapat membuat keputusan yang lebih cepat.

Suara Sarawak