KUCHING: Tiga bahagian akan menjadi pilihan skuad Kuching City FC (KC FC) untuk program siri jelajah mereka musim ini.

Bermula dari Bahagian Betong, disusuli Mukah sebelum mengakhiri siri jelajah berkenaan ke Sibu.

Presiden Kuching City FC Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan, tiga bahagian terbabit menjadi pilihan pihaknya untuk memperkenalkan pasukan berwajah baharu itu.

TERUS BERSEMANGAT…Pemain Kuching City ketika menjalani latihan. – FOTO GHAZALI BUJANG

“Program siri jelajah kita kali ini melibatkan tiga bahagian iaitu Betong, Mukah dan Sibu.

“Ia merupakan program memperkenalkan pasukan serta barisan pemain baharu bagi Kuching City FC untuk musim 2023,” ujar Fazzrudin ketika mengulas mengenai perkara tersebut.

Katanya, kunjungan ke tiga lokasi terbabit mungkin diselitkan dengan perlawanan persahabatan membabitkan barisan pilihan di bahagian terbabit.

“Sesi bertemu peminat juga akan diadakan selain aksi persahabatan,” tambah beliau.

Fazzrudin menyatakan, siri jelajah pasukannya ke tiga bahagian itu bermula selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Suara Sarawak