LANCAR…Uggah menghidupkan sistem lampu isyarat di persimpangan Tabuan Tranquility, pagi ini.

KUCHING: Persimpangan lampu isyarat di Bulatan Tabuan Tranquility hari ini telah mula beroperasi dan dibuka kepada orang awam.

Dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini, beliau berkata projek tersebut merupakan salah satu daripada lima persimpangan lampu isyarat di Kuching-Samarahan Expressway yang telah disiapkan.

“Kita mengubah lima bulatan di sini menjadi persimpangan lampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik kedua-dua hala.

“Saya telah diberitahu kerja-kerja untuk empat lampu isyarat yang lain kini berjalan lancar dan akan siap menjelang akhir tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Melihat kepada siapnya projek pertama ini, beliau menyatakan bahawa ini merupakan perkembangan yang sangat positif untuk empat lagi projek yang sedang dilaksanakan.

“Kita tahu orang ramai menantikan projek ini dan empat yang lain disiapkan memandangkan jumlah trafik yang meningkat sejak beberapa hari lalu hingga menyebabkan kesesakan yang teruk.

“Ini belaku kerana beberapa jalan terpaksa ditutup bagi memudahkan pelaksanaan projek.

“Jadi saya mesti berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran mereka,” ujarnya sambil berkata keadaan itu tidak dapat dielakkan dan berharap orang ramai agar terus bersabar.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Chiew Chee Yaw dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Richard Tajan.

Projek dengan kos keseluruhan RM72.7 juta itu telah diberikan kepada kontraktor penyelamat, Glumox Abiz Sdn., Bhd. pada 11 Oktober tahun lalu selepas kontraktor pertama gagal melaksanakan projek.

Suara Sarawak