Cenderung memuja atau memuji diri sendiri merupakan personaliti narsisistik dalam diri seseorang sedar atau tidak sedar.

Penulis tertarik berkongsi tentang gangguan personaliti narsisistik (NPD) setelah membaca berita tular berkaitan Pelakon Puteri Sarah.

Dia mengakui pernah berdepan dengan individu yang sentiasa merasakan dirinya betul, tidak mahu menerima pandangan orang lain dan kurang empati.

Mungkin ramai daripada kita pernah melalui pengalaman seperti Puteri Sarah.

NPD dikategorikan sebagai gangguan personaliti dan biasanya berlaku ketika fasa remaja atau awal alam dewasa.

Memiliki keyakinan diri baik untuk motivasi sesuatu perkara.

Tetapi apabila keyakinan tersebut terlalu tinggi sehingga menepis fakta dan pandangan orang lain, anda mungkin tergolong sebagai golongan NPD.

PERLU PERHATIAN

Lebih teruk sekiranya timbul perasaan merendahkan orang lain atau menganggap darjat diri lebih tinggi berbanding orang lain dalam masyarakat.

Mungkin ada sampai tahap, mereka rasakan layak untuk mendapatkan layanan lebih istimewa berbanding orang lain.

Perbincangan ini tidak melibatkan hierarki di syarikat, agensi pendidikan atau kekeluargaan, tetapi lebih kepada kehidupan sesebuah masyarakat.

Sifat ini lebih kepada pentingkan diri sendiri  berbanding orang lain.

Sekiranya tidak disedari, personaliti tersebut boleh mempengaruhi keadaan sekeliling termasuk hubungan berpasangan, kekeluargaan, pekerjaan dan sebagainya.

Dari susut kaunseling, mereka yang memiliki personaliti narsisistik tidak menganggap personaliti mereka sebagai “sakit” atau perlu dirawat.

Bagaimanapun, golongan ini juga memiliki emosi rapuh.

Mereka mudah terasa apabila mendapat kritikan.

Justeru, mereka sangat hauskan pujian, kalau boleh mahu dipuji setiap hari untuk memastikan kepuasan hati.

Tidak dapat dipastikan apakah punca sebenar kepada gangguan ini.

Mungkin dipengaruhi peristiwa silam zaman kanak-kanak, faktor keluarga atau sifat peribadi.

Kerap berasa diri lebih baik daripada orang lain, lebih pandai, cantik atau kacak dan berjaya.

Kalau di peringkat sekolah, mudah untuk mengesan tanda awal personaliti narsisistik iaitu apabila mereka mula berkawan secara berkelompok atau “puak”.

Golongan pandai terus merendahkan golongan sederhana.

Golongan A tidak berkongsi meja dengan golongan B.

Akhirnya mereka membiasakan personaliti narsisistik dalam diri dan dibawa ke peringkat pengajian tinggi atau pekerjaan.

Bagaimanapun, apabila personaliti tersebut bertambah teruk, mereka tidak akan bersama-sama kerana NPD bersifat peribadi dan mereka tidak suka akan ancaman yang boleh mengganggu emosi.

IMPLIKASI

Dalam kehidupan seharian, golongan NPD mudah dikesan.

Memiliki personaliti narsisistik mungkin menjadi watak pilihan dalam penggambaran filem, tapi bukan dalam kehidupan sebenar.

Golongan ini biasanya kurang rakan atau rakan semakin menjauh.

Kurang empati diri juga cenderung mempunyai masalah dalam perhubungan.

Mereka juga mudah mengalami tekanan dan keresahan apabila menerima kritikan.

Lebih teruk sekiranya berasa diri terancam apabila terdapat persaing kerana pesaing ini dianggap boleh menjatuhkan martabat dirinya.

Justeru, penting untuk kita muhasabah diri supaya sifat bangga diri tidak terlalu berlebihan sehingga dikategorikan sebagai NPD.

Sekiranya ia berlaku pada peringkat sekolah atau berlaku terhadap rakan baik kita sendiri, teguran awal membantu untuk mereka sedar sebelum ia menjadi kebiasaan.

Saya pernah kenal seseorang yang mempunyai personaliti narsisistik ketika di sekolah menengah.

Ia berlaku semasa penamaan wakil lumba lari rumah sukan pada acara tahunan sukan sekolah.

Wakil sepatutnya dipilih daripada pelajar yang hadir latihan setiap minggu.

Nama saya digugurkan daripada wakil rumah sukan apabila terdapat pelajar menerjah mengatakan bahawa dirinya merupakan wakil sekolah lamanya untuk acara tersebut.

Bayangkan situasi tersebut, tanpa memikirkan perasaan orang lain sanggup mengutamakan kepentingan sendiri.

Hadir latihan setiap hari setelah tamat waktu sekolah dan hadir pada hari sukan menjadi sia-sia disebabkan individu yang memiliki personaliti narsisistik.

Berita baik untuk saya apabila dia kalah dalam pertandingan tersebut.

Suara Sarawak