Fadillah ketika ditemu bual pemberita
FOTO: Ramidi Subari

KUCHING: Jalinan jalan sempadan serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sarawak perlu ditingkatkan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, ia susulan pembangunan pesat yang sedang berlaku di ibu kota Indonesia.

Justeru, perbincangan berkenaan perkara tersebut dibuat ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan pada Jumaat lalu.

“Perbincangan berhubung pembangunan serta kawasan sempadan dilakukan kerana kita lihat Nusantara akan pergiatkan pembinaan di Indonesia.

“Maka, kita perlu tingkatkan sempadan serta ICQS yang ada di Sarawak terutama di Biawak dan Tebedu.

“Premier Sarawak juga ada menyuarakan untuk meningkatkan jalan yang menghubungi Tebedu dan Serian kerana sempadan Indonesia sudah siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan kepada Komuniti Tiong Hua sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Matang, di sini, hari ini.

Tambahnya, pos kawalan polis atau tentera yang jaga sempadan juga perlu ditingkatkan melihat kepada perincian tertentu.

“Misal kata peringkat Sarawak, kita telah membantu membeli motosikal dan sebagainya untuk tujuan rondaan di sempadan serta kebajikan pasukan keselamatan dan lain-lain,” jelasnya.

Menurutnya lagi, inilah fokus yang akan dibawa ekoran dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pembangunan fizikal Sabah dan Sarawak.

“Kita akan bincang perkara ini bersama-sama dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada masa sama, kita akan lakukan penyelarasan kepada peruntukan awal RM1 bilion yang telah diumumkan melihat kepada keutamaan Sarawak dan Sabah berkaitan apa yang akan dilaksanakan tahun ini dan seterusnya,” katanya.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Suara Sarawak