Fadillah ketika berucap di Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu, hari ini.

SIBU: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam membantu dan menguruskan kebajikan anak-anak yatim di negeri ini bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang selesa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, ia termasuk menguruskan anak-anak yatim yang ditempatkan di Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) dalam membentuk peribadi, akhlak serta mempunyai ilmu pengetahuan.

Menurutnya, Peryatim ditubuhkan untuk membantu golongan kurang bernasib baik mendapat asuhan, didikan, pendidikan dan tempat tinggal yang lebih baik.

“Ia juga bukan hanya untuk masyarakat Islam, Peryatim sebenarnya turut menerima dan menjaga anak-anak daripada pelbagai kaum dan agama di negeri ini asalkan mereka tergolong dalam kategori anak yatim.

“Sehubungan itu, mereka daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menjaga anak, cucu atau anak saudara yang telah kehilangan orang tua, amat dialu-alukan untuk menghantar mereka ke sini.

“Ia bagi membolehkan pihak Peryatim membantu menguruskan mereka kerana kebiasannya mereka akan dihantar balik ke kampung atau rumah masing-masing semasa musim cuti sekolah,” katanya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian dalam ucapannya dalam lawatan ke Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu yang dahulu dikenali sebagai Peryatim Sibu, di sini, hari ini.

Tegasnya, antara peranan utama Peryatim adalah menyediakan keperluan asas yang lengkap, kemudahan pendidikan serta bimbangan yang sempurna untuk memberi sinar harapan dalam hidup anak-anak yang kurang bernasib baik itu.

Suara Sarawak