KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis untuk memberi sokongan penuh kepada Sarawak dalam meningkatkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara jiran khasnya Indonesia dan Brunei Darussalam.

Menyifatkan Sarawak sebagai antara wilayah paling gagah di Malaysia, beliau berkata perkara itu tidak dapat dinafikan apabila nama Bumi Kenyalang menjadi antara tajuk penting dalam perbincangan ketika pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

“Dalam perbincangan empat mata dengan Jokowi, beliau telah menyebut kekuatan Sarawak dari segi pelaburan ke Indonesia termasuk ibu negara baharunya, Nusantara.

Anwar diiringi Abang Johari sebaik tiba menghadiri Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, sebentar tadi.

“Malah dalam perbincangan dengan Sultan Brunei, selain ingin meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia khususnya dari segi pelaburan dan perdagangan, disebutkan juga kepentingan untuk mewujudkan hubungan istimewa antara Brunei dengan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Sementara, Anwar berkata akan terus memulihkan hak dan kepentingan Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menegaskan akan menyelesaikan isu MA63 sepenuhnya kerana ia begitu dekat di hati rakyat Sarawak dan juga Sabah.

“Ini kerana antara yang menghangatkan suhu politik di Sarawak dan Sabah ialah isu MA63.

“Maka saya akan menunaikan sepenuhnya amanah bagi menyelesaikan isu MA63 menerusi rundingan dan kerjasama dengan Premier dan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Anwar berkata komitmennya itu jelas apabila memberi ruang sepenuhnya kepada Fadillah untuk menyelesaikan semua perkara tertunggak berkenaan MA63 bagi memastikan nasib rakyat di Sarawak dan Sabah terbela.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan Jemaah Menteri menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sarawak dan Sabah, yang merupakan salah satu usaha memartabatkan MA63.

Suara Sarawak