KUCHING: Polis giat mengesan suspek terlibat kes samun bersenjata yang berlaku di sebuah premis runcit beroperasi 24 jam di Metrocity Matang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya telah menerima laporan kes insiden jam 4 petang pada hari sama kejadian.

“Laporan sah telah diterima. Kes dibuka di bawah Sekysen 395/397 Kanun Keseksaan (samun),” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan lanjutan siasatan kes hari ini.

Gerakan mengesan suspek kini sedang giat dijalankan oleh pasukan khas daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Terdahulu, sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira dua minit berhubung kejadian tular di media sosial.

Rakaman menyaksikan seorang lelaki tidak dikenali mengenakan topi keledar, berbaju hitam, dan membawa senjata parang datang ke kaunter premis.

Suspek dilihat bertindak mengacukan parang ke arah seorang lelaki dipercayai penjaga kaunter premis dan menyuruhnya untuk mengeluarkan wang di dalam peti duit premis tersebut.

Rakaman turut menyaksikan suspek melarikan sejumlah kotak rokok dipercayai rokok jenama Dunhill sebelum bergerak keluar dari premis.

Suara Sarawak