PADAWAN: Polis melepaskan empat das tembakan apabila hampir disambar seekor buaya di Taman Malihah, di sini semalam.

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, empat anggota dari Balai Polis Batu Kawa ketika itu sedang mengawal keselamatan dua anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang menjalankan Op Prihiltan mengalih telur-telur buaya di lokasi kejadian.

Anggota polis dari Balai Polis Batu Kawa mengawal keselamatan anggota SFC yang mengalih telur buaya di Taman Malihah.

“Tiba-tiba, seekor buaya sepanjang 14 kaki keluar dari kolam tersebut naik ke tebing dan terus menyerang dan menerkam seorang pengadu, Sarjan Mejar Richard Sanut dan pasukannya.

“Pengadu terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah bahagian mulut dan kepala buaya tersebut pada jarak enam kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, seorang anggota juga melepaskan satu das tembakan ke arah kepala buaya tersebut menyebabkan buaya tersebut berpatah balik masuk ke kolam.

Buaya sepanjang 14 kaki kelihatan di kolam terbiar Taman Malihah.

Sebelum ini Abang Zainal berkata, penduduk di kawasan sekitar mengadu ternampak kelibat buaya di kolam terbiar dan boleh mengancam keselamatan awam.

Katanya, operasi disambung semula hari ini.

Suara Sarawak