KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) komited meningkatkan kesedaran orang awam dalam menguruskan sisa sampah masing-masing.

Usaha tersebut jelas dilihat apabila mereka dengan kerjasama WormingUp menjalankan program ‘Ecostation’ di setiap acara atau majlis besar dianjurkan di bandar Kuching.

Pegawai Eksekutif Alam Sekitar WormingUp Milliana Christopher Kerry berkata, ini bukan kali pertama usaha menerusi program Ecostation ini diadakan.

Pegawai Eksekutif Alam Sekitar WormingUp Milliana Christopher Kerry.

“Malah, ia merupakan usaha berterusan oleh pihak STB dengan kerjasama WormingUp bagi memastikan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sampah dapat diberikan.

“Sebelum ini, kita juga ada mengadakan program ini ketika Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF). Ia turut dilakukan pada malam sambutan tahun baharu (31 Disember) dengan kerjasama Trienekens.

“Usaha ini akan diteruskan lagi pada program-program akan datang bagi memastikan masyarakat sedar pentingnya proses pengasingan sampah,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Antara lokasi Ecostation yang ditempatkan pada malam sambutan ambang tahun baharu 2023.

Menurutnya lagi, selain memberi kesedaran kepada orang ramai, program seumpama ini juga bertujuan bagi mengelakkan isu pembaziran makanan.

Tambahnya, inisiatif yang diambil ini terbahagi kepada empat jenis pengasingan sampah iaitu sisa makanan, sisa domestik, plastik dan logam.

“Bahan-bahan yang dikumpul menerusi program ini, semuanya akan dikumpul bagi tujuan tertentu.

ASING… empat jenis tong pelbagai jenis disediakan bagi memudahkan proses pengasingan.

“Bagi sisa makanan, ia akan dikumpul dan dijadikan sebagai kompos. Kita berharap agar masyarakat sedar bahawa makanan yang terbiar boleh digunakan sebagai baja kompos.

“Bahan plastik dan logam pula akan dikumpul, seterusnya akan dijual kepada mereka yang berminat bagi tujuan kitar semula,” katanya.

Setakat ini, program Ecostation ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan usaha ini diyakini dapat mengubah sedikit sebanyak cara pengurusan sampah dalam kalangan orang awam.

Suara Sarawak