Replika Perahu Nek Pon
MOHAMAD PON PUTIT lebih mesra dengan panggilan Nek Pon.

INSAN bersusuk tubuh kecil, tenang duduk di pintu sambil matanya fokus memandang ke arah replika perahu kecil yang dihasilkan.

Selirat urat timbul di tangan tuanya ketika menggosok permukaan serta sisi bagi memastikan hasil tangannya licin dan kemas.

Itulah Mohamad Pon Putit atau lebih mesra dengan panggilan Nek Pon dari Kampung Muara Tebas. Nek Pon, 84, masih giat mengerjakan hasil seni kraf tangan replika pelbagai jenis perahu di rumahnya.

Pertemuan kira-kira sejam Suara Sarawak dengan Nek Pon, bermacam luahan disampaikan, dari sisi pengalaman membuat perahu sebenar sehingga menghasilkan replika yang sering dijadikan buah tangan dan cenderahati.“

Kita sedia maklum kampung Boyan berhampiran sungai, setiap hari kita melihat perahu di sungai tersebut.

“Maklumlah, perahu merupakan pengangkutan utama ketika dahulu. Jadi saya memang minat perahu sejak,” katanya ketika ditemui barubaru ini.

Dengan hasil kerja teliti, Nek Pon berkata segalanya bermula daripada pemerhatian, tiada siapa mengajarnya cara-cara membuat replika perahu.

Menurutnya, idea tercetus ketika dia duduk di tepi sungai dan berniat membuat replika perahu walaupun sebelum ini dirinya bekerja sebagai tukang.

Replika dihasilkan seakanakan perahu sebenar, cuma bezanya dari segi saiz.

Kayu daripada pokok pelaik digunakan kerana ciri-cirinya ringan serta mudah diproses seperti mudah dipotong, ditebuk dan
dipahat.

“Latihan demi latihan dibuat bagi mendapatkan hasil kemas dan menarik mengikut kreativiti dan pengamatan terhadap ciriciri yang terdapat pada perahu sebenar,” jelasnya.

Menerima kritikan pada hasil awal menjadi perkara biasa, malah ada yang mempersoalkan; kenapa hasil yang siap tidak memuaskan?

“Jika kita tekun berlatih menghasilkan perkara yang kita minat setiap hari, Insya-Allah, ia membuahkan hasil yang bagus dan menarik.

“Semuanya hasil buatan tangan tanpa menggunakan mesin, termasuk memotong serta memahat kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran,” ujarnya.

Bergiat sejak usia 14 tahun, Nek Pon masih mengusahakannya sehingga kini walaupun pendapatannya tidak menentu.

Antara tempahan dan stok sedia ada replika perahu Nek Pon.

Baginya, minat mengatasi segala-galanya kerana wang ringgit bukan ukuran pada replika yang dihasilkannya.

Tanpa disangka, replika sebelum ini dikatakan tidak memuaskan berjaya menarik minat pembeli, bukan sahaja warga tempatan, tetapi pelancong luar seperti dari Perancis, China dan Filipina yang berkunjung ke kampung tersebut.

PEMILIHAN BAHAN

Menariknya, pembeli menawarkan harga sehingga RM200 untuk sebuah replika perahu.

“Mungkin mereka melihat usaha saya menghasilkan perahu itu tanpa menggunakan sebarang mesin elektrik untuk menyiapkannya.

“Syukur, replika itu dapat menjana pendapatan, masih ada yang berminat membelinya,” katanya lagi.

Bercakap tentang pemilihan bahan mentah, jenis kayu digunakan adalah dari pokok pelaik.

Jelas Nek Pon, ciri-cirinya ringan serta mudah diproses menjadi keutamaan termasuk kerja memotong, menebuk dan memahat, selain menggunakan buluh sebagai bahan utama.

Dalam proses pembuatan, kayu pelaik tidak perlu dikeringkan sebelum melanjutkan langkah seterusnya.

Ketika mengorek kayu menghasilkan bentuk atau struktur utama perahu, ia dilakukan ketika kayu masih basah kerana lebih lembut.

“Paling lama ia dihasilkan dalam tempoh seminggu bergantung saiz yang diminta oleh pelanggan. Jika saya sendiri dapat hasilkan dalam masa tiga ke empat hari saja,” ujar Nek Pon.

Pada usia lanjut menghampiri satu abad, Nek Pon sentiasa komited dengan hasil kerjanya dan tidak pernah sekali pun terjentik di hatinya untuk berhenti.

“Walaupun ada orang bertanya. Jawapan saya, selagi tulang empat kerat ini masih berupaya, nyawa masih dikandung badan, saya mesti teruskan.

“Apabila saya mati, barulah saya berhenti. Ini minat saya sejak kecil, bukan sekadar perahu, tetapi bermacam peralatan lain sudah dihasilkan termasuk hulu dan sarung parang,” katanya.

Walapun kini pendapatan menerusi hasil kraf itu tidak memuaskan, namun Nek Pon tetap bersyukur meskipun menerima bayaran serendah RM20.

“Tidak kisah, saya hanya duduk di depan pintu rumah. Menerima bayaran sekecil RM20 ke RM30, saya tetap ambil.

“Itulah rezeki saya, kerana apa-apa diusahakan ini bukan kerana duit semata-mata, tetapi minat mendalam terhadap seni kraf,” kata Nek Pon.

CARI PENERUS LEGASI

Setelah lebih 70 tahun mengusahakan seni kraf perahu, Nek Pon cuma berharap ada generasi baharu mewarisi seni berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman.

Namun, segala harapan itu berbalik kepada faktor minat kepada seni kraf tangan, kerana tanpa minat usaha jadi sia-sia.

Malah, Nek Pon turutmenyatakan kesediaannya mengajar dan memberi panduan dalam meneruskan seni yang kurang mendapat perhatian ini.

“Sementara masih ada, saya sedia mengajar mereka, sekurang-kurangnya apabila saya sudah tiada kelak, masih ada penyambung dan meneruskan usaha ini.

“Perkara ini sukar difi kirkan kerana ia memerlukan semangat serta minat. Mungkin minat kita berlainan, tidak semua remaja suka bertukang.

“Cuma kita tidak boleh terlalu memaksa mereka untuk minat apa-apa yang kita lakukan, sebaliknya memberikan mereka ruang menilai semula agar ia tidak pupus,” ujarnya.

Suara Sarawak