Rezeki peniaga air kelapa

MUKAH: Air kelapa antara minuman yang menjadi pilihan ramai terutama ketika cuaca panas.

Selain rasanya yang segar dan enak, air kelapa turut memberi banyak manfaat terutama ibu mengandung.

Awgku Putra Awg Sedek, 31, berkata dia memilih untuk menjual air kelapa kerana ia begitu mudah diproses dan juga dijual.

“Jika kita lihat proses membuat air kelapa ini, ia sangat mudah dan tidak perlu mempelajari daripada mana-mana sumber.

“Isteri saya juga banyak membantu memberikan komen berkenaan rasa dan apa-apa sahaja jika ada kekurangan air kelapa ini,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Awgku Putra atau lebih mesra dipanggil Putra turut memberitahu sambutan perniagaan air kelapa mereka juga amat menggalakkan.

“Dalam sehari, saya dan isteri mampu menjual sekitar 40 cawan terutamanya pada hujung minggu dan cuaca panas.

“Ini kerana, lokasi kami berniaga adalah berhampiran dengan Pantai Kala Dana dan biasanya pada hujung minggu menjadi tumpuan penduduk Mukah dan sekitar,” ujarnya.

Putra berkata, lokasi mereka berniaga itu turut berdekatan dengan kebun ibu bapanya dan memudahkan mereka memetik hasil tanaman seperti jagung, ubi kayu serta sayur-sayuran untuk dijual di gerai mereka.

Mengulas cabaran yang dihadapi, Putra akui mendapatkan buah kelapa antara cabaran buat mereka.

“Walaupun sudah menjual air kelapa sejak tahun lepas, saya merasakan bekalan kelapa agak sukar diperoleh walaupun di sini banyak pembekal kelapa.

“Harga yang ditawarkan pada setiap pembekal tersebut juga tidak sama dan ada yang menetapkan harga tinggi.

“Bukan itu sahaja, jika pokok kelapa tinggi, saya terpaksa mencari orang memanjat pokok itu.

Hari hujan juga menjadi cabaran kerana ketika ini kurang sambutan orang ramai,” katanya lagi.

Putra yang dibantu oleh isterinya itu turut memberitahu mereka beroperasi setiap hari bermula 2 hingga 6 petang.

“Walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh, saya dan isteri tetap bersemangat meneruskan perniagaan kerana membantu kami menjana sumber pendapatan keluarga,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan air kelapa ini, dialu-alukan singgah di gerai mereka berdekatan dengan Pantai Kala Dana.

 

 

Suara Sarawak