Richard Wee

KUCHING: Datuk Richard Wee bakal dilantik sebagai ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak yang baharu, sekaligus menyaksikan satu lagi kedudukan tinggi diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada pemimpin daripada komuniti Cina di negeri ini.

Pelantikan Wee dimaklumkan oleh Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menerusi laman media sosialnya, hari ini.

“Tahniah kepada Datuk Richard Wee sebagai ahli Lembaga Amanah Yayasan Sarawak yang baharu,” katanya.

Sim turut menyatakan keyakinannya bahawa Wee akan dapat menyumbang kepada Yayasan Sarawak, yang diamanahkan untuk memudahkan pendidikan (memiliki universiti swasta bagi memberi biasiswa/pinjaman, pakaian seragam dan lain-lain) untuk Sarawak sejak 50 tahun yang lalu.

“Beratus-ratus juta ringgit setahun tetapi kami memerlukan pembangunan sumber manusia untuk Sarawak pada masa lalu, kini dan akan datang terutamanya Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) kami,” katanya.

Sementara, Wee yang juga bendahari Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak Bersatu (Sha Dong Zong) menyatakan berbesar hati dilantik menganggotai Lembaga Amanah Yayasan Sarawak.

Namun, beliau yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian berkata buat masa ini belum lagi menerima maklumat dan surat pelantikan secara rasmi, cuma telah dimaklumkan secara tidak rasmi.

“Saya berterima kasih kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Pengerusi, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang merupakan Timbalan Pengerusi bersama ahli-ahli lain yang memberi keyakinan kepada saya untuk berkhidmat di Lembaga Amanah Yayasan Sarawak yang berprestij.

“Saya akan melakukan usaha terbaik dalam melaksanakan tugas dan dapat membuktikan kepada semua yang memberi kepercayaan kepada saya,” katanya yang dihubungi.

Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina di Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Jonathan Chai turut mengucapkan tahniah kepada Wee, dan yakin beliau mampu menyumbang kepada organisasi.

“Dengan pengalaman luas beliau dalam sektor korporat dan penglibatan meluas beliau dalam badan bukan kerajaan (NGO), saya percaya beliau dapat menyumbang secara positif dan menjadi aset yang tidak ternilai kepada organisasi,” katanya yang juga dihubungi.

Lembaga Amanah Yayasan Sarawak kini dibarisi oleh Abang Johari sebagai Pengerusi, Abu Bakar (Timbalan Pengerusi) manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Azhar Ahmad, Dato Sri Gramong Juna dan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.

Suara Sarawak