KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana sengaja membakar papan tanda lif bomba, paip PVC, dan suis api sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Bukit Bayor, Disember tahun lalu.

Tertuduh Jason Martin, 23, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh dibawa oleh anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen 4 di Kuching, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sengaja membakar suis api bomba, papan tanda dan dinding bangunan pangsapuri sekitar jam 10.40 malam, 25 Disember 2022 hingga menyebabkan kerugian RM250.

Bagi pertuduhan kedua, dia membakar papan kayu yang dipasang pada bangunan pangsapuri sekitar jam 5.17 pagi pada 22 Disember 2022 hingga menyebabkan kerugian RM250.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bangunan pangsapuri di Jalan Bayor Bukit di sini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara serentak berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima panggilan daripada majikannya mengenai seorang individu telah merosakkan beberapa harta benda di salah sebuah bangunan pangsapuri.

Pengadu kemudian membuat pemeriksaan bangunan tersebut mendapati kesan terbakar pada papan tanda, suis api, dinding bangunan pangsapuri, dan papan kayu yang dipasang pada dinding.

Selain itu, pengadu juga membuat pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati salah seorang penyewa, dikenali sebagai Jason Martin telah merosakkan harta benda itu dengan membakar.

Laporan polis telah dibuat dan Jason kemudiannya ditahan pada 31 Dis 2022 sekitar jam 1.45 pagi.

Difahamkan tertuduh dalam keadaan mabuk semasa melakukan kedua-dua kesalahan itu.

Semasa prosiding, Jason agar diringankan hukuman kerana dia adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga dan perlu menanggung ibu bapa serta tunangnya yang sedang hamil.

Dia juga menambah bahawa kesalahan itu adalah kesalahan pertama dan berjanji kepada mahkamah tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Pendakwaan kes ini dikendalikan oleh DPP Mohamad Aiman ​​Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak