LINGGA: Sebuah kediaman kosong milik warga emas berusia 70 tahun musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Seduku Melayu, malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan binaan struktur tidak kekal itu disahkan ranap 100 peratus.

“Sebaik sampai di lokasi yang jaraknya kira-kira 41 kilometer (km) pada 8.06 malam, pasukan kita membuat pemeriksaan dan terus memadam kebakaran menggunakan sumber air dari pili bomba.

“Sejurus itu, memadam sisa kebakaran dan bara api untuk memastikan kawasan tersebut selamat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Jelasnya, punca kebakaran rumah berkeluasan 30 kaki panjang dengan lebar 20 kaki milik Norkiah Meludin itu masih dalam siasatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9 malam.

Menurut penduduk kampung, rumah berkenaan tidak berpenghuni ekoran pemiliknya tinggal bersama-sama anaknya.

 

Suara Sarawak