Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

MIRI: Sarawak kekal sebagai pemain utama dalam meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala antara Brunei dan Malaysia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama ekonomi itu akan mewujudkan aliran perdagangan dan perniagaan antara Miri dan Brunei, dan sudah pasti membuka peluang ke pasaran dunia.

“Malaysia akan meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala dengan Brunei. Namun, kunci utamanya tetap Sarawak.

“Sebab itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa saya bersama-sama dalam delegasi beliau ke Brunei.

“Ia antaranya bagi melihat bidang kerjasama dalam tiga perkara utama,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina SUPP Cawangan Miri di sini, malam tadi.

Salah satu bidang tersebut jelas Abang Johari, adalah hidro dengan dicadangkan pembinaannya lojinya antara Brunei dan Lawas, untuk tenaga boleh diperbaharui.

“Kedua, kita akan meningkatkan potensi pelancongan dan Anwar secara prinsip bersetuju untuk Royal Brunei Airlines (RBA) membawa penumpang.

“Ketiga sudah tentu menaik taraf Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan maknanya CIQ Sungai Tujoh akan dinaik taraf.

“Ini akan memberikan tiga aliran perdagangan dan perniagaan antara Miri dan Brunei, dan sudah pasti membuka peluang ke pasaran lain,” ujarnya.

Abang Johari turut memaklumkan Kerajaan Brunei telah meluluskan penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Bandar Seri Begawan.

“Tahun ini kita akan mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Bandar Seri Begawan.

“Saya berharap orang Miri, boleh bekerjasama dengan mereka dan menggesa penduduk yang mempunyai tanah, terokalah bidang pertanian pintar,” tambahnya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden Kehormat SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin, Adun Pujut yang juga Datuk Bandar Miri Adam Yii turut hadir sama.

Suara Sarawak